Pelakon, Fauziah Latiff menghayati watak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebaik mungkin untuk filem “MAHATHIR thejourney” .. NSTP/Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff, 50, atau Jee terbawa-bawa emosi dan karakter Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika menghayati watak isteri Perdana Menteri itu dalam filem “MAHATHIR thejourney” .

Jee berkata, penampilan, tata rias, bahasa tubuh, pergerakan, tutur kata, malah reaksi wajah diteliti satu persatu demi filem arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan yang baharu sahaja selesai penggambaran, minggu lalu.

“Saya akui ada juga terbawa karakter Dr Siti Hasmah ketika di rumah. Maklum saja, saya menelaah skrip dan belajar cara pergerakan setiap hari. Sikit sebanyak karakter beliau terbawa dalam kehidupan seharian.

“Ada baiknya kerana saya boleh memperbetulkan gerak tubuh dan kesilapan yang dilakukan. Beliau, seorang yang tenang dan ‘cool’ sahaja. Saya membuat kajian daripada apa yang nampak dan tonton secara luaran,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Setia Ku Korbankan itu berkata, dia bersyukur diberi peluang membawa watak Dr Siti Hasmah. Ini juga filem pertamanya sepanjang bergelar anak seni.

“Saya akui, watak Dr Siti Hasmah sangat berat dan mencabar, tetapi saya cuba merealisasikan sebaik mungkin.

“Jujurnya, saya tidak boleh meniru seratus peratus karakter Dr Siti Hasmah terutama membabitkan intonasi, cuma perwatakan dan kelembutannya boleh diikuti.

“Saya membuat kajian selama dua hingga tiga bulan mengenai Dr Siti Hasmah menerusi buku, akhbar, saluran YouTube dan medium sosial lain,” katanya.

Jee berkata, dia cuba memahami dan menyelami pengorbanan Dr Siti Hasmah ketika mengkaji karakter.

“Saya membayangkan kelembutannya ketika berbicara. Saya berulang kali mempelajari ‘memek muka’ yang suka dilakukan.

“Paling mencabar tentu menterjemah wataknya. Beliau seorang ikon negara, saya harus meneliti karakter dari hujung rambut hingga kaki,” katanya.

Katanya, dia tidak sempat bertemunya, hajat belum kesampaian lagi. Tetapi, dia meneliti karakter Dr Siti Hasmah melalui medium sosial dan majlis yang dihadiri untuk mendapat gambaran.

“Saya banyak perhatikan pergerakan Tun Siti Hasmah terutama bahasa tubuh dan reaksi wajah yang dilakukan,” katanya.

Filem “MAHATHIR thejourney” terbitan Reliance Media Group Sdn Bhd mengangkat kisah perjuangan ikon negara, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meletakkan jawatan Perdana Menteri keempat hingga dilantik semula pada 2018

Selain Fauziah dan Azhar Amir selaku Dr Mahathir sebagai teraju utama, filem menelan belanja sebanyak RM6 juta turut dibintangi Hilal Azman sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Muhamad Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *