Antara babak dalam filem Mahathir The Journey. NSTP/Zunnur Al Shafiq

Penularan coronavirus, batal penggambaran di Jepun

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

KUALA LUMPUR: Enggan mengambil risiko, penggambaran filem Mahathir The Journey di Hiroshima, Jepun terpaksa dibatalkan berikutan wabak coronavirus baharu (COVID-19) yang cukup membimbangkan seluruh dunia.

Barisan pelakon, pengarah dan kru produksi filem Mahathir The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan sudah melakukan persiapan terbang ke Hiroshima pada hujung Januari lalu.

Bagaimanapun, filem terbitan Reliance Media Group Sdn Bhd itu beralih lokasi ke Langkawi untuk menggantikan Hiroshima.

Produser yang juga Ketua Bahagian Kreatif syarikat produksi itu berkata, penggambaran di Hiroshima dibatalkan pada saat akhir berikutan penularan wabak berbahaya yang mengakibatkan menyebabkan kematian.

“Kami membatalkan beberapa babak penting membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri dan pegawai khas, Sufi Yusof ke Hiroshima selepas meletakkan jawatan pada 2003.

“Mengikut skrip ada empat hingga lima babak penting yang harus dilaksanakan di Hiroshima.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu mengambil risiko memandangkan kru produksi yang dibawa ada yang berbangsa Cina,” katanya kepada BH Online.

Yusof berkata, pasukan produksi terpaksa rombak semula skrip untuk disesuaikan dengan perjalanan kisah di Langkawi.

“Kami mencari beberapa pelakon yang fasih berbahasa Jepun bagi watak wartawan NHK World Japan yang pernah menemubual Dr Mahathir.

“Sepatutnya, kami mengambil pelakon di sana untuk watak wartawan NHK World Japan. Tetapi, kami pilih pelakon di sini sahaja untuk menyelesaikan babak berkenaan.

“Di Langkawi, banyak babak penting yang dilakukan kerana ini adalah kawasan Dr Mahathir. Jadi, kami terus menghabiskan saki baki penggambaran di sini,” katanya.

Katanya, penggambaran filem Mahathir The Journey kini sudah pun selesai semalam. Mahathir The Journey diterajui pelakon berpengalaman, Azhar Amir sebagai Dr Mahathir dan Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah).

Filem yang menelan belanja RM6 juta itu turut dibintangi Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq) dan Muhamad Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Mengangkat kisah perjuangan Dr Mahathir, filem berkenaan dijangka ditayangkan pada Julai depan, sempena ulang tahun kelahiran tokoh disegani itu.

Comments are closed.